Aksi Korea Selatan Dan Singapura Bakal Dibanjiri Kaum Wanita

Korea Selatan 1 Aksi Korea Selatan Dan Singapura Bakal Dibanjiri Kaum Wanita
JUNG YEON-JE/AFP/AFP
Nabil Fahmi @nabilfamy
4:28pm 15/11/2023

Pasukan gergasi Korea Selatan bakal menerima sambutan luar biasa dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Singapura di Stadium Piala Dunia Seoul yang dijadualkan esok 15 November.

Ianya menjadi sambutan yang luar biasa apabila difahamkan daripada 66,000 tiket yang terjual, 65 peratus daripadanya telah menjadi milik kaum wanita.

Ini bermakna hanya 35 peratus sahaja penyokong lelaki yang akan turun ke stadium. Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Korea Football News di laman X mereka sebentar tadi.

“Menurut KFA (Persatuan Bolasepak Korea Selatan), 65% daripada 66,000 tiket yang terjual untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Singapura telah dibeli oleh wanita,” coret Korea Football News.

Ianya pasti akan menjadi sesuatu yang menarik untuk disaksikan di mana penyokong wanita lebih mendominasi tempat duduk di stadium yang mana selalunya menjadi perhatian kaum lelaki.

Untuk rekod, Korea Selatan telah melalui tahun 2023 dengan keputusan yang sangat cemerlang selepas mereka mencatatkan rekod tanpa kalah dalam kesemua aksi antarabangsa. Kemenangan terbesar mereka adalah dengan menewaskan Vietnam 6-0 bulan lalu.

Berbeza dengan Singapura yang pernah ditewaskan Malaysia dan Tajikistan untuk tahun 2023 ini. Namun tiga perlawanan terakhir mereka berakhir dengan kemenangan iaitu menewaskan Taiwan 2-1 dan menewaskan Guam dua kali.