Insiden malang yang menimpa dua pemain kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim bukan saja menjadi bualan peminat bola sepak negara.
Malah, berita dua pemain sayap Harimau Malaya itu turut menjadi bualan di Korea Selatan menerusi satu artikel yang disiarkan di portal Best Eleven.
Ini disebabkan Akhyar dan Faisal merupakan tonggak utama skuad senior Malaysia yang dibimbing jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon.
Arena bola sepak negara sebelum ini dikejutkan dengan insiden Akhyar disamun berhampiran dengan kediamannya di Tanjung. Beliau juga turut mengalami kecederaan selepas dipukul dengan cota.
Ini disusuli insiden Faisal disimbah asid oleh individu yang tak dikenali di sebuah pusat beli-belah terkenal di Lembah Klang semalam.
Menurut portal berkenaan, insiden malang yang menimpa kedua-dua pemain itu bukan saja memerlukan mereka menjalani tempoh pemulihan yang lama.
Malah, ini menyebabkan nama Akhyar dan Faisal hampir pasti disisihkan Pan-gon untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan hadapan.
Jurulatih berusia 55 tahun itu perlu mencari pemain alternatif yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan kedua-dua pemain tersebut.
Malaysia bakal berhadapan dengan Kyrgyzstan untuk aksi kelayakan seterusnya pada 6 Jun. Ini disusuli perlawanan menentang Taiwan pada 11 Jun.