Dengan gol yang dijaringkan dalam perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah semalam, Fernando Forestieri kini menjadi penjaring terbanyak dengan tujuh gol. Tetapi bagi penyerang Watford itu, apa yang penting ialah kejayaan pasukan.
Selain Forestieri, Feroz Baharudin, Oscar Arribas, Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Leandro Velasquez turut menyumbang kepada enam gol yang dijaringkan semalam. Kemenangan ini memperkukuh kedudukan JDT sebagai pendahulu liga dengan 24 mata.
Di sebalik semua itu, Forestieri melihat pasukan perlu diutamakan terlebih dahulu daripada pencapaian peribadi seperti Kasut Emas. Kerana pada akhirnya, itu yang menjadikan pencapaian JDT lebih istimewa.
“Tidak, saya hanya fokus kepada memberi yang terbaik (dan) membantu rakan-rakan sepasukan saya. Ya, saya menjaringkan gol tetapi saya juga boleh memberi bantuan gol, saya gembira. Keutamaan saya ialah rakan-rakan sepasukan,” katanya kepada Zulhelmi Zainal Azam untuk Astro Arena.
Ketika ini, bekas penyerang Sheffield Wednesday itu mendahului senarai penjaring terbanyak dengan tujuh gol. Manakala rakan sepasukan Arif Aiman dan Ayron Del Valle (Selangor) mengekori Forestieri dengan masing-masing menyumbat lima gol.