Inter Milan muncul juara Serie A musim lepas selepas mempamerkan aksi yang cemerlang yang konsisten. Maka tidak hairanlah apabila pemain-pemain utama mereka menjadi buruan kelab-kelab utama di Eropah.
Musim ini Inter telah melepaskan beberapa pemain dan berjaya mencatat keuntungan hampir €200m setelah menjual Romelu Lukaku (€115m) ke Chelsea, Achraf Hakimi (€60m) ke PSG, Matteo Politano (€19m) ke Napoli dan pemain veteran, Candreva (€2.5m) ke Sampdoria.
Malah Inter turut melepaskan beberapa pemain secara percuma seperti Asley Young dan Joao Mario. Kemungkinan pemain ini tiada dalam perancagan pengurus baharu mereka, Simone Inzaghi.
Walaupun kehilangan 2 pemain utama mereka, Inter telah berjaya mendapatkan pengganti yang berkualiti apabila membawa masuk Edin Dzeko, Denzel Dumfries dan Hakan Calhanoglu dengan jumlah keseluruhan sekitar €14m sahaja.
Edin Dzeko tiba dari AS Roma sebagai pemain sokongan di bahagian penyerang. Perpindahan Dzeko dalam peringkat akhir dan bakal diumumkan beberapa hari lagi secara rasmi. Inter dikhabarkan bakal membawa masuk seorang lagi penyerang berkualiti iaitu Duvan Zapata bagi menggantikan Romelu Lukaku.
Bagi posisi pertahanan kanan, Denzel Dumfries yang berusia 25 tahun dari PSV bakal mengambil alih peranan tersebut setelah Achraf Hakimi menyertai PSG. Dumfries beraksi cemerlang bersama Belanda di EURO2020 apabila berjaya menjaringkan 2 gol dan 1 assist dalam 4 penampilan.
Hakan Calhanoglu pula menyertai Inter secara percuma dari kelab seteru, AC Milan. Satu kerugian besar buat AC Milan kerana melepaskan pemain yang banyak membantu mereka meraih kemenangan musim lalu. Hakan mempamerkan aksi hebat musim lalu dengan 4 jaringan dan 10 assist dalam 33 perlawanan Serie A.
Kehadiran 3 pemain bintang ini pasti memberikan kelebihan buat Inter Milan dalam misi mempertahankan gelaran juara Serie A musim lalu. Malah Inter dijangka bakal membawa masuk beberapa pemain lagi sebelum jendela perpindahan ditutup.