Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan bahawa pemain sayap lincah pasukan, Arif Aiman Hanapi akan kekal di JDT untuk tempoh yang lebih lama.
Pemain berusia 21 tahun itu menikmati musim yang cukup mengujakan bersama skuad Harimau Selatan apabila membantu pasukan untuk meraih 4 trofi domestik buat tahun kedua berturut-turut.
Kecemerlangan bintang muda ini yang telah mencatat 24 gol dan melakukan 19 bantuan jaringan dalam semua pertandingan telah memberi impak yang cukup besar buat pasukan.
Pemain lincah ini juga merupakan pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai musim 2021 dan 2022 selain sudah pun melakukan debut dengan skuad senior pada Mac 2020.
Arif menyertai Akademi JDT pada 2018 dan dinaikkan pangkat dari pasukan JDT IV, JDT III dan JDT II hingga ke skuad senior.
Antara pencapaian membanggakan pemain ini adalah apabila memenangi pemain muda harapan di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) sebanyak dua kali pada musim ini termasuklah pada aksi keenam menentang BG Pathum United tempoh hari.
Kecemerlangan beliau telah membuka mata ramai pihak terutamanya Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan juga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang meletakkan beliau sebagai pemain tumpuan di Piala Asia kelak.
Rekod jaringan memberangsangkan juga dicatatkan oleh beliau bersama Harimau Malaya apabila sudah meledak 6 jaringan dan 5 bantuan gol pada tahun ini.
Beliau bakal menggalas tugas bersama skuad kebangsaan selepas diumumkan dalam senarai 26 orang pemain yang dipanggil oleh Kim Pan-gon ke kem latihan pusat minggu hadapan.