Kelemahan Perundangan FAM, Beri Impak Kepada Pemain

January 8, 2020

KEDEGILAN beberapa persatuan bola sepak negeri (FA) atau kelab melangsaikan tunggakan gaji pemain dan jurulatih berjumlah jutaan ringgit mungkin berlaku ekoran kelemahan daripada sistem perundangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Pakar Undang-Undang Sukan dan Governans Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Jady Zaidi Hassim, pelantikan beberapa individu dalam kalangan Exco FAM mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan dalam jawatankuasa tertentu khususnya membabitkan pertikaian kontrak dan gaji pemain.

Jady berkata, FAM perlu tegas dalam menguatkuasakan peraturan dan badan induk bola sepak negara ini perlu diterajui individu yang neutral bagi menegakkan keadilan kepada semua pihak termasuk pemain dan jurulatih.

“Secara subjektif FAM mungkin akan berat sebelah kepada ahlinya (ahli gabungan terdiri daripada FA) dan kenapa pula dia nak berat kepada pemain.

“Kalau awak adik saya dan kawan awak datang mengadu pasal awak pukul dia, sebagai abang sudah tentu saya sedikit menyebelahi awak sebab awak adik saya. Macam itu juga dalam FAM, kalau pemain datang mengadu (pasal tunggakan gaji), sudah tentu akan memihak ahli gabungan sebab kita kena faham apabila empat tahun lagi, siapa yang akan mengundi (dalam Kongres Pemilihan) takkan pula pemain.

“Nampak tak keadaan tidak stabil di situ. Situasi berkenaan boleh menyebabkan pemain ini tak boleh nak menuntut haknya sampai bila-bila selagi kita tak tukar sistem itu,” katanya.

Sistem Perundangan FAM perlu diubah terlebih dahulu

Isu tunggakan gaji pemain Liga Malaysia semakin kronik apabila beratus rungutan dan keluhan diluahkan sama ada pemain mahupun jurulatih yang menuntut tunggakan gaji biarpun sudah melaporkan kes itu kepada FAM.

Paling menyedihkan, apabila ada sesetengah kes yang sudah diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FAM dilihat tidak memberi sebarang kesan apabila FA dan kelab tetap degil dan enggan membayar tunggakan terbabit.

Malah, ada juga kelab yang lari daripada tanggungjawab apabila menutup pasukan sehingga menyaksikan bekas pemain terpaksa menggigit jari apabila tidak menerima sebarang pembayaran gaji mereka seperti Hanelang FC, Marcerra United dan Perlis FC

“Sistem pentadbiran dan pengurusan dalaman FAM boleh diubah berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dan perlu mendapat persetujuan dalam mesyuarat Exco.

“Misalnya, Jawatankuasa Integriti FAM dikendalikan bukan ahlinya (pihak neutral). Jadi mungkin ia juga boleh dibuat bagi mendapat keputusan lebih baik, sekali gus nasib pemain akan lebih terbela,” katanya lagi.

Follow Telegram @makanbola untuk dapatkan berita bola sepak Malaysia terus di telefon bimbit anda.
Follow Telegram @makanbola untuk dapatkan berita bola sepak Malaysia terus di telefon bimbit anda.
50 views

By Naim Rahim
@naimbola90

Terbaru