Pemain sayap kebangsaan, Muhammad Faisal Halim menzahirkan rasa syukur dapat membantu pasukan kebangsaan mencatat kemenangan dalam aksi berdepan Kyrgyzstan pada semalam.
Beliau akui kerja keras setiap pemain membuahkan hasil apabila skuad Harimau Malaya kembali bangkit selepas ketinggalan.
“Kita bekerja keras dari awal dan jujurnya saya tak sangka keputusan ini. Akan tetapi inilah bola sepak, kita usaha dan ini rezeki kita.”
Ketika ditanya wartawan TV3, Syakirah Zulkifly tentang keadaan di bilik persalinan selepas tamat babak pertama permainan, Faisal menjelaskan bahawa jurulatih sememangnya marah selepas Malaysia ketinggalan.
Faisal bagaimanapun akui inilah karakter yang dimiliki pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon yang sentiasa tegas dan tidak mahu para pemainnya lalai.
“Jurulatih marah dan apa yang saya boleh kata, macam harimau lah dalam tu (bilik persalinan). Tapi ya itu karakter jurulatih Kim, dia taknak anak buahnya lalai dan ambil sambil lewa. Itu yang ditekankan di dalam bilik persalinan.”
Sayap lincah Selangor FC ini menjadi watak penting pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir permainan memastikan tiga mata diraih Malaysia di laman sendiri.
“Separuh masa kedua kita cuba bangkit, dan kita dibolosi. Kalau semua perasan memang sukar untuk kita dapat tiga gol tapi rezeki kita hingga minit akhir dan kita berjaya,” ujar Faisal Halim.