Advertisement
Korea Selatan Tewaskan Skuad Wanita Republik Czech
UltraSukan
UltraSukan
Korea FA

Skuad bola sepak wanita Korea Selatan membuka tahun 2024 dengan kemenangan apabila menewaskan skuad bola sepak wanita Republik Czech.

Selepas gagal layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, anak buah Colin Bell berharap dapat membuka tahun baru dengan nota positif.

Korea Selatan yang diperkuat lima pemain yang berpangkalan di luar negara mengasak Republik Czech selepas wisel ditiup.

Pasukan gergasi Asia itu perlu menunggu sehingga minit ke-16 untuk membuka tirai jaringan menerusi Ji So-yeon.

Sepakan percuma yang diambilnya melepasi benteng lawan dan terkena palang sebelum menerjah jaring. Itu juga merupakan gol ke-70 So-yeon di pentas antarabangsa.

Tersentak, pasukan Eropah itu cuba bangkit mendapatkan gol penyamaan tetapi gagal. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Korea Selatan terus memberi tekanan kepada Republik Czech untuk meraih gol kedua.

Akhirnya, gol yang dicari mudah disempurnakan Casey Fair selepas menerima hantaran Cho Hyo-joo seminit selepas babak kedua bermula.

Eva Bartonova menyumbat gol saguhati Republik Czech pada minit ke-53. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Korea Selatan selepas ini bakal mengharungi satu lagi aksi persahabatan dengan menentang Portugal pada 28 Februari ini.