Skuad Piala MFL Kuching City FC mendapat suntikan semangat apabila penyerang skuad SUKMA Sarawak, Christopher Enting sah menyertai pasukan itu.
Perpindahan penyerang muda itu disahkan pengurusan The Cats menerusi satu pengumuman ringkas di platform media sosial rasmi mereka.
“Selamat datang Christopher Enting anak Simon ke Kuching City FC B-23! Pemain muda SUKMA Sarawak kini bersedia untuk mencipta impak besar di Piala MFL bersama pasukan kita!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kehadiran Christopher dijangka menambah pilihan buat jurulatih skuad muda Kuching City, Oleg Kuzmaniok di bahagian serangan.
Selain bekas penyerang skuad SUKMA Sarawak itu, penyerang lain dalam pasukan itu ialah Cornelius Ornley Jina, Shane Thomas Baru, Rahimin Roslan dan Jeckelly Manir.
Pasukan itu turut memiliki tiga pemain yang beraksi untuk skuad senior Kuching City iaitu Amirrul Iqmal Bolhi, Abdul Rahim Abdul Razak dan tonggak import, Luiz Fernando Welter.
Kuching City dijangka berehat sehingga aksi Piala MFL mereka yang seterusnya pada 12 Oktober ini. Tarikh tersebut menyaksikan mereka berdepan Terengganu FC II di Stadium Negeri, Kuching.