Skuad Thailand berpotensi menerima durian runtuh sekiranya berjaya menewaskan Turkmenistan dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027.
SiamSport melaporkan skuad Gajah Perang bakal menerima bonus sebanyak 3 juta baht (RM360,000) jika berjaya berbuat demikian.
Janji tersebut dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam atau Madame Pang dalam sesi bersama pemain pada Isnin.
Kemenangan sangat penting buat anak buah Anthony Hudson. Ini kerana kemenangan menjamin kemaraan Thailand ke Piala Asia selaku juara Kumpulan D.
Madame Pang turut memaklumkan jika pasukan itu meraih kemenangan dengan tiga gol atau lebih, bonus tersebut akan menjadi 5 juta baht (RM600,000).
Beliau juga menyeru penyokong agar hadir beramai-ramai ke stadium untuk memberi sokongan padu kepada skuad Gajah Perang.
“Saya harap ramai penyokong akan datang dan memberi sokongan kepada kita di Stadium Rajamangala.
“Kita kena tunjukkan bahawa ini rumah kita di sini, di Thailand dan di sini juga kita akan layak ke pusingan akhir bersama-sama,” katanya.
Thailand bakal berentap dengan Turkmenistan pada 31 Mac ini.