Aksi terbaru La Liga membabitkan Barcelona dan Real Madrid diselubungi kontroversi susulan pendedahan rakaman audio pegawai VAR dalam perlawanan tersebut.
Pada awalnya, Los Blancos mendahului menerusi dua gol yang dijaringkan bintang Perancis, Kylian Mbappe.
Barca kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Eric Garcia dan Lamine Yamal. Bekas bintang Leeds United, Raphinha meletakkan tuan rumah di hadapan selepas itu dengan dua gol.
Mbappe kemudiannya mencipta hatrik pada babak kedua. Malangnya, itu sudah terlambat untuk menghalang Barcelona meraih kemenangan.
Barca menyangka mereka telah meraih gol kelima menerusi Fermin Lopez. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan apabila bola terkena tangan Lopez.
Penyokong Barca kemudiannya naik angin apabila seorang pegawai VAR yang tidak dikenali mengucapkan rasa syukur kerana gol tersebut dibatalkan.
Audio insiden tersebut turut dimuat naik Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) di platform media sosial rasmi mereka. Namun begitu, komen pegawai VAR membabitkan gol Lopez tiada dalam rakaman tersebut.
Insiden tersebut dijangka menambah kemarahan penyokong Barca terhadap mutu pengadilan aksi tersebut.
Sebelum itu, kem Barcelona tidak berpuas hati kerana tidak dianugerahkan sepakan penalti pada babak kedua. Mereka mendakwa bola terkena tangan Aurelien Tchouameni tetapi itu tidak dilayan pengadil.