Pengurusan Selangor FC memutuskan untuk kekal memfailkan rayuan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Pada 25 Jun lepas, Selangor dikenakan hukuman oleh MFL selepas memilih menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih 2024 pada Mei lepas.
Merah Kuning bukan saja dikenakan potongan tiga mata dan denda sebanyak RM100,000. Malah, kelab itu perlu membayar kos ganti rugi kepada MFL dan lawan mereka dalam aksi Sumbangsih, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Selangor juga turut diarah bermain tanpa penonton di Stadium MBPJ untuk aksi minggu ke-14 Liga Super dengan JDT.
Pengumuman hukuman tersebut mencetuskan ketidakpuasan hati ramai pihak termasuk penyokong Selangor. Malah, hal ini turut menarik perhatian Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Lantaran itu, MFL dalam satu kenyataan memaklumkan hukuman yang diterima Merah Kuning sebelum ini diringankan. Menerusi kenyataan ini, potongan tiga mata dan larangan beraksi tanpa penonton untuk Selangor di Stadium MBPJ yang dikenakan sebelumnya dibatalkan.
Sementara denda RM100,000 yang diterima Selangor kini dikurangkan kepada RM60,000. Manakala perintah membayar kos ganti rugi kepada MFL dan JDT dikekalkan.
Meskipun begitu, pengurusan pasukan gergasi Lembah Klang itu tetap ingin memfailkan rayuan kepada MFL.
“Selangor FC mengambil maklum berkenaan pertimbangan semula keputusan yang telah dibuat hari ini oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL berkenaan ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024.
“Untuk makluman, Selangor FC masih belum memfailkan sebarang rayuan kepada MFL. Pihak kelab akan memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang telah dipertimbangkan semula oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL berlandaskan peraturan-peraturan yang berkaitan,” kata pengurusan Merah Kuning dalam satu kenyataan.
Selangor mempunyai tempoh selama empat hari untuk memfailkan rayuan kepada MFL berhubung semua hukuman yang dinyatakan.