Setelah mengharungi cabaran 2022 yang agak suram, Sri Pahang FC nampaknya sudah mengatur langkah untuk membina skuad lebih mantap bagi mengharungi Liga Malaysia 2023.
Skuad kendalian Dollah Salleh itu menamatkan kempen Liga Super di tangga ketujuh dan tersingkir awal masing-masing dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.
Mereka sedang rancak memburu pemain-pemain baru untuk memperkuatkan pasukan, dan pemain pertama berjaya dipancing adalah Nur Shamie Iszuan Amin, pemain sayap kanan kelahiran Kuching.
Belum ada pengumuman rasmi dibuat Sri Pahang, namun perkembangan itu telah disahkan sendiri oleh Shamie Iszuan, yang mendedahkan dia menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab itu ketika menjawab soalan penyokong mengenai kesahihan perpindahannya.
Nur Shamie yang merupakan salah seorang tonggak utama Sarawak United musim ini merupakan produk Piala Presiden Sarawak dan dia pernah menyarung jersi beberapa kelab Liga FAM ketika awal kariernya sebelum menyertai Negeri Sembilan pada 2020.
Dia turut pernah beraksi dengan skuad bawah 22 tahun negara kendalian Dato’ Ong Kim Swee pada 2017 namun terlepas beraksi di temasya Sukan SEA kerana kecederaan buku lali.
Di sebalik prestasi buruk ditunjukkan Sarawak United dalam kempen Liga Malaysia musim ini, Nur Shamie boleh dikatakan antara permata yang menyinar.
Malah kelincahannya turut berjaya memikat barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang meletakkan namanya dalam senarai menunggu ketika persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia pada bulan Jun lalu.
Kegagalan Sarawak United mendapatkan lesen untuk beraksi di Liga Super musim depan, mendorong ramai pemain utama mereka untuk keluar dengan Nur Shamie antara yang turut membuat keputusan beralih angin.