Proses perobohan Stadium Shah Alam semakin menghampiri angka 60%.
Perkara ini dikongsikan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop.
Saipolyazan memaklumkan kerja-kerja perobohan stadium tersebut berjalan lancar. Malah, beliau percaya tempoh perobohan lebih cepat daripada yang dijadualkan.
“Gerak kerja untuk menyediakan platform Stadium Shah Alam baharu sedang giat dijalankan, manakala struktur bangunan stadium lama kurang separuh yang masih berdiri,” katanya seperti dilaporkan Media Selangor.
Kerja perobohan Stadium Shah Alam telah dimulakan sejak Julai lalu. Sekiranya proses perobohan berjalan lancar, kerja pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bakal dimulakan pada Mei 2025.
KSSA bakal dibina mengikut tiga fasa. Fasa pertama membabitkan perobohan stadium lama dan pembinaan stadium baru dijangka siap pada tahun 2026.
Stadium baru yang bakal dibina menggantikan Stadium Shah Alam itu bakal memiliki kapasiti antara 40,000 hingga 50,000 tempat duduk.
Fasa kedua pula membabitkan pembinaan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi. Fasa terakhir pula memberi fokus kepada pembinaan hotel dan terminal bas bersepadu.
KSSA juga bakal dihubungkan dengan sistem keretapi aliran ringan (LRT). Ini kerana stesen LRT bagi Laluan Shah Alam (LRT3) telah dibina berhampiran kawasan Stadium Shah Alam dan bakal beroperasi pada 2025.