Advertising
Suspek Kes Pecah Rumah Pemain Selangor Diberkas, Pernah Terlibat Kes Samun Di 4 Negeri
MakanBola
Selangor FC

Polis mencekup dua individu dipercayai suspek yang terlibat dalam kes pecah rumah bek tengah Selangor, Khuzaimi Piee.

Pada akhir Mei lalu, bek tengah berusia 30 tahun mendapati rumahnya dipecah masuk selepas pulang daripada menjalani latihan bersama pasukan Merah Kuning.

Ad

Khuzaimi mengalami kehilangan barang berharga seperti motosikal Yamaha Y15ZR berwarna biru, beg silang pelbagai jenama dan pasport. Kerugian yang dialaminya mencecah RM15,000.

Ad

Kini, laporan awal Majoriti mendedahkan dua suspek kes tersebut ditahan polis di Kuala Terengganu, Terengganu pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam satu kenyataan memaklumkan dua suspek ini turut disyaki terlibat dalam beberapa kes samun di empat buah negeri termasuk Selangor. Siasatan polis turut mendapati ujian air kencing kedua-dua suspek kes berkenaan positif dadah.

Ad

“Antara barang yang dirampas semasa serbuan dijalankan ialah beg kamera, kamera, tong karbon monoksida, 17 beg pelbagai jenis dan jenama serta tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama.

Ad

“Selain itu, turut dirampas seunit pemacu pena (pendrive), komputer riba dan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR,” katanya.

Ad

Polis percaya dengan penahanan dua suspek ini dapat menyelesaikan kes pecah rumah membabitkan Khuzaimi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan mencuri itu yang dilakukan kali kedua atau seterusnya, maka hendaklah juga dikenakan hukuman denda atau sebat,” tambahnya.

Penyelesaian kes ini dijangka memberi kelegaan kepada bek tengah kebangsaan itu menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 menentang Kuching City FC pada 6 Julai ini.