Terengganu vs Kedah: Peteh Kembali Raih Kemenangan Di SSMZA

Terengganu FC Liga Super Kedah Darul Aman FC 1 Terengganu vs Kedah: Peteh Kembali Raih Kemenangan Di SSMZA
Kedah Darul Aman FC
Azim Noor @mohdazim45
11:15pm 03/07/2023

Hasrat Terengganu FC meraih kemenangan selepas dikecewakan di pentas separuh akhir Piala FA baru-baru ini menjadi kenyataan. Ini selepas tuan rumah menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) hari ini.

Tanpa Jordan Mintah yang tidak disenaraikan atas sebab disiplin, Adisak Kraisorn diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan Peteh.

Dan penyerang Thailand itu menyangka menyumbat gol pertama tuan rumah pada minit ke-11. Bagaimanapun, bekas penyerang Port itu kecewa apabila golnya dibatalkan atas kesalahan ofsaid.

Tetapi penantian gol pertama Terengganu FC berakhir pada minit ke-16. Selepas menerima hantaran rendah Azam Azmi Murad, Engku Muhammad Shakir Engku Yaacob melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim.

Tersentak, KDA FC cuba bangkit memburu gol penyamaan. Percubaan terbaik pasukan pelawat ialah menerusi Fayadh Zulkifli pada minit ke-45 tetapi sepakannya terkena tiang.

Separuh masa kedua menyaksikan Adisak terpaksa digantikan dengan penyerang muda, Syahmi Zamri selepas tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan. Dan Syahmi segera menguji Ifwat Akmal dengan percubaan pada minit ke-53 tetapi berjaya disekat penjaga gol KDA FC itu.

Peluang terbaik Terengganu FC menambah gol kedua hadir pada minit ke-81 menerusi Alif Zakaria. Bagaimanapun, gabungan Ifwat Akmal dan Bojan Ciger memastikan percubaan bek kiri Peteh itu tidak menembusi gawang KDA FC.

Di sebalik usaha Sang Kenari memburu gol penyamaan, kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini meletakkan skuad Penyu di tangga keenam liga dengan KDA FC pula kekal di tangga keempat.

Selepas ini, Terengganu FC berharap dapat melunaskan dendam mereka ke atas KL City FC di Stadium Cheras pada 7 Julai. Sementara Sang Kenari berharap tidak dimalukan PDRM FC buat kali kedua di Stadium MBPJ pada 9 Julai.