Siri perlawanan persahabatan yang dilalui Vietnam kali ini tidak seperti yang diharapkan apabila mereka merekodkan dua kekalahan kepada China dan Uzbekistan. Kedua-dua perlawanan berakhir dengan kekalahan 0-2.
Vietnam akan meneruskan siri perlawanan persahabatan mereka menentang gergasi asia, Korea Selatan yang dijadualkan malam ini, 17 Oktober. Menjelang aksi getir itu, jurulatih Vietnam, Philippe Troussier menjangkakan para pemainnya akan bertahan habis-habisan.
“Kami sedang dalam proses membina skuad untuk sasaran yang akan datang. Dalam perlawanan menentang Korea esok(malam ini), pasukan Vietnam sedar mereka perlu bermain bertahan kira-kira 60-70% sepanjang perlawanan.
“Salah satu faktor yang membantu pasukan Vietnam adalah pemain kita harus lebih tenang dan mengatasi tekanan dari pihak lawan.
“Sudah tentu, berbanding pemain Korea, pemain Vietnam mempunyai jurang di tahap yang tertentu. Bagaimanapun, saya mengharapkan pemain saya menunjukkan keazaman tertinggi,” tegas Troussier seperti dilaporkan VietnamVN.
Bagi Troussier, tiada lagi istilah bereksperimen seperti dua perlawanan yang lalu. Beliau mahukan pemain-pemainnya menunjukkan kemampuan sebenar mereka menentang Korea Selatan walaupun mereka masih muda dan cetek pengalaman.
“Untuk perlawanan esok (hari ini) saya tidak mahu menggunakan perkataan menguji pemain, tetapi ini adalah peluang buat mereka menguji kebolehan sendiri dan bersaing dengan pasukan lawan utama dunia,” tegas pakar strategi dari Perancis itu lagi.
Perlawanan Vietnam dan Korea Selatan itu dijadualkan bermula pada jam 7 malam waktu Malaysia. Perlawanan tersebut bakal dilangsungkan di Stadium Piala Dunia Suwon yang pernah menjadi venue untuk Piala Dunia 2002.