Bekas pemain tengah Kelantan, Badhri Radzi bakal membuat kemunculan beraksi bersama AZM Rovers di pentas Liga A2.
Menerusi pengumuman di laman Facebook rasmi kelab AZM Rovers, khidmat Badhri Radzi ataupun lebih dikenali sebagai Piya ini sah bersama pasukan itu untuk hadapi saingan Liga A2.
“Lagenda kembali! Piya sah bersama AZM Rovers FC,” umum pihak kelab dalam satu kenyataan.
Kehadiran Piya selaku pemain senior di dalam pasukan juga diharapkan mampu membawa impak besar kepada pemain-pemain muda khususnya yang mewakili AZM Rovers musim hadapan.
Malah, pihak kelab turut mengumumkan kerjasama bersama Piya yang akan bertindak sebagai Duta Rasmi pasukan yang dilihat cukup penting untuk selaku aset buat AZM Rovers ini.
Aura Piya sememangnya tidak perlu diperkatakan lagi apabila beliau pernah menyarung jersi keramat Kelantan sejak 2006-2018 dan menjulang pelbagai trofi terutamanya Treble ketika musim 2012.
Selain Piya, seorang lagi bekas bintang Kelantan ketika era 2012 lalu, Norshahrul Idlan Talaha atau mesra disapa Matyo turut kembali beraksi bersama Kelantan Red Warrior dalam saingan Liga A1.