Penyokong Perak FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) akhirnya mengetahui bila aksi Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan itu bakal berlangsung.
Sebelum ini, penyokong kedua-dua pasukan hampa apabila aksi liga yang sepatutnya berlangsung pada 5 Oktober lepas terpaksa ditangguhkan buat kali kedua.
Keputusan penangguhan perlawanan dibuat susulan cuaca hujan lebat dan keadaan padang Stadium Perak yang digenangi air.
Keputusan itu mencetuskan rasa tidak puas hati bukan saja dalam kalangan penyokong JDT dan Perak. Malah, perkara ini turut mendapat perhatian Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Kini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan tarikh baru perlawanan tersebut ialah 10 November di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. Tidak seperti aksi sebelumnya yang diadakan pada sebelah malam, MFL turut mengumumkan aksi Perak-JDT bakal berlangsung pada jam 5.00 petang.
Perubahan tarikh ini juga mendorong MFL meminda semula tarikh pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia. Mengikut jadual asal, pusingan ini bakal berlangsung pada 8-10 November dan 22-24 November.
Walau bagaimanapun, susulan perubahan tarikh perlawanan Perak-JDT, MFL perlu melengkapkan jadual Liga Super minggu ke-13 terlebih dahulu bagi membolehkan undian Piala Malaysia dapat dilakukan.
Aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia bakal diadakan pada 20-24 November ini. Manakala aksi kedua pusingan 16 kejohanan berprestij itu bakal diadakan pada 29 November-1 Disember.
Perubahan ini juga mendorong MFL meminda semula tarikh perlawanan liga yang sepatutnya bersambung pada 29 November ke bulan Disember.