Kontinjen renang Malaysia berpotensi diperkuatkan dengan kehadiran dua perenang warisan.
Perkara ini didedahkan oleh Setiausaha Kehormat Persekutuan Renang Malaysia (MS), Andy Low Siak San bila ditanya tentang perkara tersebut.
Andy memaklumkan kedua-dua perenang warisan tersebut belum memiliki pasport Malaysia. Justeru, mereka harus melalui proses dokumentasi terlebih dahulu.
“Ada dua orang (perenang) yang memohon melalui e-mel. Saya rasa bapa dia memang orang Malaysia. Tapi dia belum ada pasport.
“Jadi, kalau nak dapatkan pasport, proses itu memang panjang. Tak semudah macam kita mohon pasport di sini. Jadi, itu akan mengambil masa sedikit,” katanya kepada Nadi Arena.
Andy turut memaklumkan sekiranya proses berjalan lancar dan mereka berjaya melepasi kelayakan yang ditetapkan, kedua-dua perenang itu berpotensi membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Kalau dia memang ada bukti anak Malaysia dan layak mengikut masa kelayakan kita, kita memang akan pilih dia wakili Malaysia,” ujarnya.
Sebelum ini, MS tidak menolak mendapatkan perenang warisan dalam usaha menambah bilangan perenang berkualiti bersaing di peringkat antarabangsa.