Barisan akhir 23 pemain Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) telah dipilih untuk Kejohanan B-16 ASEAN yang akan bermula beberapa hari saja lagi.
Ini selepas barisan 23 pemain itu diperkenalkan dalam satu sidang media khas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Selain memperkenalkan barisan pemain, sidang media itu turut diadakan bagi memperkenalkan jurulatih baru Malaysia B-16, Javier Jorda Ribera.
Sidang media dihadiri oleh Ribera, Exco FAM, Christopher Raj selaku pengurus pasukan dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell.
Pasukan muda negara bakal menggalas cabaran ke Kejuaraan B-16 ASEAN 2024 yang berlangsung dari 21 Jun hingga 4 Julai ini.
Menerusi senarai akhir 23 pemain Malaysia B-16 yang dikeluarkan, Ribera mengekalkan majoriti pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) sebagai teras pasukan.
Ini termasuk dua peledak berbisa skuad muda JDT, Arayyan Hakeem Norizam dan Fahmi Nor Farizamal.
Fahmi merupakan penjaring terbanyak Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) B-15 2023. Dia juga sebahagian daripada skuad JDT B-15 yang menewaskan Selangor di pentas final kejohanan pada tahun lepas.
Sementara Arayyan Hakeem pula merupakan pemenang Kasut Emas Piala KPM B-14 2023. Dia juga merupakan anak kepada bekas penyerang Perak, Norizam Ali Hassan.
Hanya Alif Hakimi Zamri satu-satunya pemain yang bukan mewakili JDT atau AMD. Alif Hakimi merupakan pemain Singa Muda Perlis.
Skuad B-16 kebangsaan dijangka terbang ke Surakarta, Indonesia esok bagi menghadapi saingan Kumpulan C.
Malaysia akan bertemu Timor-Leste pada 23 Jun. Ini disusuli dengan Australia pada 26 Jun dan Thailand pada 29 Jun.
Seandainya skuad negara berjaya layak ke separuh akhir, saingan akan berlangsung pada 1 Julai ini. Ini disusuli perlawanan final pada 3 Julai.