29 calon tersenarai dalam senarai calon awal yang layak bertanding untuk pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029.
Kesemua 18 ahli gabungan kecuali Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang digantung diberi tempoh dari 24 Disember 2024 hingga 16 Januari 2025.
Tempoh selama 24 hari itu diberi kepada semua ahli gabungan mengemukakan senarai nama calon masing-masing untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco).
Selepas tamat tempoh akhir iaitu jam 5.30 petang, 16 Januari 2025, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said memaklumkan satu ahli gabungan tidak menghantar borang pencalonan.
Satu lagi ahli gabungan sudah menghantar borang tetapi tidak sempurna. Oleh sebab itu, pihak jawatankuasa hanya menerima pencalonan daripada 16 ahli gabungan yang sah.
“Selepas proses pengiraan, jumlah keseluruhan calon yang diterima ialah seramai 39 orang tetapi hanya 29 orang calon yang akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan memandangkan baki 10 orang calon lain itu tidak mendapat jumlah pencalonan minimum seperti yang termaktub dalam Artikel 31, Perenggan 6, Statut FAM.
“Bagi menandingi jawatan Presiden, seseorang calon itu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya enam pencalonan dari ahli-ahli gabungan FAM manakala bagi jawatan Timbalan Presiden memerlukan lima pencalonan, jawatan Naib Presiden memerlukan empat pencalonan manakala jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) memerlukan dua pencalonan,” katanya dalam satu kenyataan.
Calon-calon yang layak diberi tempoh sehingga 23 Januari 2025 untuk melengkapkan borang persetujuan untuk jawatan yang bakal ditandingi mereka.
Pada masa sama, Jawatankuasa Pemilihan FAM sudah menghantar 29 nama calon untuk proses saringan integriti pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dijangka menang tanpa bertanding untuk jawatan Presiden FAM. Dua penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi dan Dato’ S. Sivasundaram juga dijangka tidak berdepan masalah mengekalkan kedudukan mereka.
Jawatan Naib Presiden FAM bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru. Antara yang mengambil bahagian ialah bekas pengendali Harimau Malaya, Dato’ Dollah Salleh dan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.
Perebutan jawatan Exco FAM juga dijangka sengit. Antara yang mengambil bahagian ialah Hishamuddin Abdul Karim, Christopher Raj dan legenda bola sepak negara, Dato’ Zainal Abidin Hassan.
Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM 2025-2029 yang bakal berlangsung pada Februari ini.