Tiga entiti komersial telah menyatakan minat mengambil alih pemilikan Perak FC.
Perkara ini dinyatakan sendiri pengerusi The Bos Gaurus, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi apabila ditanya tentang perkembangan terbaru pasukan itu.
Sebelum ini, Perak dilaporkan mahu menarik diri daripada saingan Liga Super musim hadapan disebabkan kemelut luar padang termasuk masalah kewangan.
Malah, Abdul Azim pernah mendedahkan The Bos Gaurus hanya memiliki RM1 juta dalam bank untuk melangsaikan 20% tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan itu.
Kini, beliau memaklumkan tiga entiti tersebut sudah menyatakan minat untuk mengambil alih bekas juara Piala Malaysia 2018 itu.
Minat tersebut muncul kerana mereka tidak mahu melihat pasukan itu berkubur selepas tamat musim 2024/25.
“Alhamdulillah, ada dua, tiga syarikat-syarikat lain yang menunjukkan minat untuk mengambil alih (Perak).
“(Ini) kerana mereka pun merasa terkilan kalau Perak tiada lagi dalam MFL,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
Berita ini dijangka menggembirakan penyokong Perak yang ingin melihat pasukan itu terus bersaing dalam liga musim hadapan.