Tiga pemain Australia ditahan oleh pihak polis atas dakwaan terlibat dengan rasuah dan memanipulasi kad kuning dalam beberapa perlawanan tahun lalu.
Ketiga-tiga pemain yang terlibat merupakan pemain untuk pasukan Macarthur FC yang kini berada di tangga kelima liga Australia, A-League.
Ulises Davila, Kearyn Baccus dan Clayton Lewis ditahan oleh pihak polis pada hari Jumaat setelah penyiasatan dilakukan sejak Disember tahun lalu dengan bantuan pihak suruhanjaya perjudian United Kingdom.
Ulise Davila yang turut merupakan kapten pasukan Macarthur bersama-sama Kearyn Baccus dan Clayton Lewis didapati telah terlibat dengan skim pertaruhan yang mencecah ratusan ribu dolar termasuk pertaruhan yang melibatkan manipulasi kad kuning.
“Pemain tersebut menerima arahan daripada seseorang yang disyaki berada di Amerika Selatan. Mereka mengatur kad kuning dalam perlawanan tertentu untuk meraih keuntungan.” ujar pihak polis Australia.
Pemain yang terlibat akan mendapat bayaran sehingga RM46,650 jika sengaja mendapat kad kuning dalam sesebuah perlawanan.
Ketiga-tiga pemain tersebut bakal dihadapkan ke mahkamah pada akhir Jun depan atas tuduhan korupsi dan jenayah berkumpulan.
Pihak polis Australia turut mengingatkan kepada semua pemain bola sepak profesional Australia agar berintegriti tinggi dan tidak sesekali mengkhianati etika dan kepercayaan penyokong bola sepak.