3 Pemain Muda Negeri Sembilan Terpilih Ke Jepun
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Tiga pemain muda Negeri Sembilan FC terpilih untuk menjalani latihan dan percubaan selama sebulan bersama kelab J-League 3, Gainare Tottori bermula pada penghujung Februari ini.

Perkara ini diumumkan pengurusan Negeri Sembilan menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi mereka pada Rabu.

Tiga pemain tersebut ialah Airiel Zafran Mohd AzrulAqil Faris Shalahudin dan Adam Haris Hamizon. Mereka akan disertai Ketua Jurulatih Negeri Sembilan B-20, Norhafiz Zamani Misbah.

“Sepanjang tempoh tersebut, ketiga-tiga pemain akan dinilai terlebih dahulu oleh barisan kejurulatihan akademi Gainare Tottori.

“Sekiranya menepati standard dan kriteria yang ditetapkan, mereka akan diberi peluang untuk turut serta menjalani latihan bersama skuad utama kelab berkenaan.

“Dalam masa yang sama, Norhafiz Zamani Misbah akan ditempatkan bersama struktur kejurulatihan pasukan utama Gainare Tottori bagi mendalami metodologi latihan, pengurusan pasukan serta pendekatan taktikal yang diamalkan dalam sistem bola sepak profesional Jepun,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengerusi Sang Rusa, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun melihat program ini bukan saja membantu mempersiapkan pemain Negeri Sembilan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA).

Malah, ini juga peluang buat pemain-pemain yang terpilih untuk mencuba mendapatkan kontrak dalam saingan J-League.

“Program latihan dan percubaan ini mencerminkan komitmen serius NSFC dalam membina asas pembangunan pemain muda yang mampan dan berdaya saing. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kejayaan jangka pendek, tetapi perlu membina struktur yang kukuh untuk masa hadapan.

“Hubungan baik kita dengan Gainare Tottori membuka ruang yang amat berharga kepada pemain dan jurulatih untuk menimba pengalaman dalam ekosistem bola sepak profesional Jepun yang terkenal dengan disiplin dan intensiti tinggi.

Saya berharap peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain dan jurulatih yang terlibat, bukan sahaja untuk pembangunan peribadi mereka, tetapi juga untuk membawa pulang ilmu dan standard baharu yang boleh meningkatkan mutu bola sepak Negeri Sembilan,” katanya.

Pengurusan Negeri Sembilan percaya langkah ini akan memberi manfaat jangka panjang kepada pasukan itu terutama dalam saingan Liga Super.