Penyerang sensasi Lubnan, Gabriel Bitar menagih fokus daripada rakan sepasukan dalam misi merangkul gelaran juara pada aksi final Pestabola Merdeka 2024.
Malaysia telah dijadual berdepan Lubnan pada jam 9 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada esok.
Pemain berusia 26 tahun itu menganggap Malaysia adalah pasukan yang kuat dan merupakan lawan yang sukar. Beliau akui Lubnan perlu bermain dengan lebih teratur jika mahu menewaskan Harimau Malaya di lama sendiri.
“Saya fikir mereka (Malaysia) mempunyai ramai pemain berkualiti. Kami harus kekal sebagai satu pasukan dan perlu bermain lebih teratur.”
“Jika kami beraksi dengan teratur, saya berasa mereka tidak boleh mengatasi kami dan kami perlu bertahan dengan baik,” ujar Gabriel dalam sesi sidang media pra perlawanan.
Pemain tengah Lubnan, Rabih Ataya juga yakin dengan kemampuan rakan sepasukan. Beliau ingin meneruskan siri kemenangan Lubnan selepas dua kemenangan berturut-turut telah dicatat Lubnan keatas Malaysia dalam pertemuan terdahulu.
“Kami sudah berada di Final, jadi kami akan beri segala yang termampu,” ujar Rabih ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Fadhirul Suhaimi.
Dalam pada itu, pengendali pasukan Lubnan, Miodrag Radulovic sedar dengan impak tonggak naturalisasi kebangsaan iaitu Romel Morales, Paulo Josue dan Endrick Dos Santos. Namun pasukannya bagaimanapun sudah bersedia untuk berdepan Malaysia di pentas final Pestabola Merdeka 2024.
“Terdapat beberapa pemain naturalisasi yang memiliki kelebihan fizikal. Kualiti individu pemain yang berkualiti..”
“Final ini akan menjadi pengalaman yang bagus buat pasukan berdepan lawan yang berkualiti seperti Malaysia. Namun saya percaya Lubnan sudah bersedia untuk perlawanan kali ini,” ujar Radulovic.