Tan Sri Hamidin Mohd Amin bakal menggalas tiga peranan penting sebagai Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Hamidin sah mengisi peranan tersebut selepas usul perlantikan beliau sebagai Presiden Kehormat FAM diluluskan dalam Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025.
Antara peranan beliau dalam badan induk itu selepas bergelar Presiden Kehormat FAM ialah penasihat kepada badan-badan utama FAM.
Ini termasuk memberi nasihat kepada Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu yang diketuai Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Ayub.
Selain itu, beliau juga menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Tetap menerusi jemputan rasmi FAM.
Meskipun tidak mempunyai hak pengundi, Presiden Kehormat mampu memberi nilai tambah kepada agenda mesyuarat yang dibincangkan.
Di samping itu, Hamidin juga menggalas peranan sebagai duta rasmi FAM baik di peringkat domestik mahupun di peringkat antarabangsa.
Beliau menjadi individu kedua yang menggalas peranan sebagai Presiden Kehormat FAM. Sebelum ini, peranan tersebut digalas Sultan Pahang, Almarhum KBDYMM Paduka Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.
Baginda dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM pada 2014 sebagai penghormatan atas jasanya selama tiga dekad sebagai presiden badan induk itu.