Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menawarkan 3 pilihan harga tiket bagi menyaksikan perlawanan antara Malaysia vs Vietnam nanti.
Pasukan Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski bakal turun dalam aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Vietnam yang juga pencabar terhebat Malaysia di kumpulan F ini.
Persiapan rapi sedang diatur oleh pihak pengurusan Harimau Malaya dengan satu perlawanan pemanas badan menentang negara ke-72 dunia, Cape Verde pada penghujung bulan Mei ini.
Oleh itu, pihak FAM menerusi satu kenyataan mengumumkan makluman terkini mengenai penjualan tiket untuk perlawanan Malaysia vs Vietnam yang dinanti-nantikan ramai peminat ini.
3 kategori tiket ditawarkan buat para peminat bermula pada harga RM40 untuk kategori tempat duduk terbuka manakala tiket grandstand dan premium dijual pada harga RM60 serta RM70.
Sementara itu, harga bagi tiket kanak-kanak pula hanya dijual pada harga RM5 sahaja dalam usaha pihak FAM bagi menarik minat ramai peminat cilik untuk ke stadium serta memberikan sokongan.
Para penyokong boleh mendapatkan tiket perlawanan Malaysia vs Vietnam di laman sesawang Tickethotline bermula hari ini iaitu Isnin, 12 Mei 2025.
Aksi Malaysia vs Vietnam bakal berlangsung pada 10 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sepak mula tepat jam 9 malam.