Advertising
30,000 Penyokong Dijangka Banjiri Aksi Malaysia vs Singapura Malam Ini
MakanBola
FA Malaysia

Aksi terakhir Kumpulan A ASEAN Championship 2024 antara Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal dihadiri lebih 30,000 penyokong.

Aksi ini cukup penting bagi kedua-dua pasukan. Ini kerana hanya kemenangan saja yang menjamin kedudukan mereka untuk layak selaku naib juara Kumpulan A.

Ad

Pendahulu kumpulan, Thailand telah mengesahkan kelayakan terlebih dahulu apabila menewaskan The Lions 4-2 pada 17 Disember lalu.

Ad

Anak buah Masatada Ishii berpeluang mengekalkan rekod kemenangan 100% mereka apabila bertemu dengan Kemboja pada 20 Disember.

Kehadiran Ekor Harimau Malaya dijangka menyuntik semangat skuad negara bila berdepan Singapura. Aksi peringkat kumpulan ASEAN Championship 2022 membabitkan kedua-dua pasukan itu di SNBJ menyaksikan kehadiran seramai 65,147 orang.

Ad

Kehadiran mereka membantu Malaysia yang ketika itu dibimbing Kim Pan-gon untuk mengalahkan The Lions 4-1. Kemenangan tersebut turut membantu Harimau Malaya layak ke separuh akhir edisi 2022.

Ad

Kini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan 18,290 tiket untuk aksi Malaysia dan Singapura sudah terjual setakat ini. Bilangan ini dijangka bertambah menjelang beberapa jam sebelum perlawanan bermula.

Ad

Tidak mustahil seandainya 30,000 penyokong hadir di SNBJ untuk aksi ini, angka tersebut bakal menjadi angka kehadiran teramai untuk aksi Harimau Malaya dalam tahun 2024.

Jumlah kehadiran tertinggi direkodkan untuk aksi Malaysia pada tahun ini ialah 26,499 orang pada 26 Mac lalu. Tarikh tersebut menyaksikan Harimau Malaya menentang Oman untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026.

Penyokong yang masih belum berpeluang mendapatkan tiket boleh mendapatkannya di sini.