4 Bintang New Zealand Bakal Cabar Harimau Malaya
MakanBola
New Zealand Football

Harimau Malaya bakal berdepan cabaran empat bintang New Zealand menjelang aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung pada 14 Oktober ini.

Malaysia berharap dapat meneruskan momentum kemenangan selepas meraih gelaran juara Pestabola Merdeka 2024. Sementara All Whites pula ingin mempertahankan rekod kemenangan mereka ke atas skuad negara sejak 2006.

Jurulatih New Zealand, Darren Bazeley dijangka mempertaruhkan empat bintang untuk memastikan kemenangan memihak kepada pasukan Oceania itu.

1- Chris Wood

Kapten New Zealand, Chris Wood bakal menjanjikan ujian sukar buat barisan pertahanan Harimau Malaya. Kini mewakili Nottingham Forest, penyerang berusia 32 tahun itu sudah menjaringkan empat gol dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ini termasuk gol semasa menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 6 Oktober lalu. Selain Forest, Wood pernah mewakili Newcastle United, Burnley, Leeds United, Leicester City dan West Brom.

2- Tommy Smith

Meskipun kini berusia 34 tahun, Tommy Smith sentiasa diharap sebagai orang besi New Zealand. Kini beraksi untuk pendatang baru A-League, Auckland FC, Smith juga pernah beraksi untuk beberapa kelab asing seperti Colorado Rapids, Sunderland, Ipswich Town dan Brentford.

Kontinjen pemain Sabah FC dalam Harimau Malaya cukup mengenali bek tengah berpengalaman itu. Ini kerana Smith menjadi sebahagian daripada pasukan Macarthur yang menyingkirkan Sang Badak dalam kempen Piala AFC 2023/24.

3- Liberato Cacace

Tidak kira siapa yang bakal diturunkan Pau Marti Vicente di bahagian sayap kanan, mereka perlu bersedia menghadapi tentangan Liberato Cacace. Cacace mula menempa nama di Eropah selepas beraksi bersama kelab Serie A, Empoli sejak 2022.

Meskipun baru berusia 24 tahun, beliau sudah meraih kepercayaan Bazeley sebagai bek kiri utama All Whites. Ini dibuktikan dengan 16 penampilan dan satu gol di peringkat antarabangsa.

4- Marko Stamenic

Stamenic dilihat antara nadi jentera tengah New Zealand. Selepas menempa nama di Eropah bersama Red Star Belgrade, beliau menyertai Nottingham Forest dengan yuran perpindahan €5 juta (RM23.5 juta).

Kini beraksi secara pinjaman untuk Olympiakos, Stamenic sudah merekodkan enam penampilan dalam semua kejohanan termasuk Liga Europa.