4 Fakta Menarik Kemenangan Aaron Chia-Wooi Yik Di BAC
UltraSukan
BAC 2025

Kejayaan bersejarah Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul selaku juara Badminton Asia Championship (BAC) membawa seribu satu makna kepada sukan badminton Malaysia.

Pada Ahad, Aaron-Wooi Yik turun di perlawanan akhir beregu lelaki BAC menentang pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi dengan misi besar bagi menutup aksi di pentas Asia dengan kemenangan.

Tentangan hebat diberikan oleh Bo Yang-Liu Yi kepada wakil Malaysia ini namun Aaron-Wooi Yik tenang mengawal situasi sebelum akhirnya menang 21-19, 21-17 dalam masa 47 minit.

Di sebalik kejayaan Aaron Chia-Wooi Yik di Ningbo, China ini, terdapat 4 fakta penting yang memberi makna besar kepada sukan badminton Malaysia

1- Gelaran juara Asia pertama buat Aaron-Wooi Yik.

Ini adalah gelaran juara Asia pertama buat gandingan Aaron-Wooi Yik sejak kali pertama mereka bermain bersama sekitar 2015 dengan pencapaian terbaik di BAC adalah muncul naib juara 2022.

Ketika itu, beregu ke-6 dunia ini terpaksa akur tewas kepada Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan dari Indonesia dan kejayaan kali ini pastinya mengubati kehampaan mereka 3 tahun lalu.

2) Tamatkan kemarau juara selama 18 tahun beregu lelaki Malaysia di pentas Asia.

Kejayaan yang dicapai Aaron-Wooi Yik ini juga menamatkan kemarau juara beregu lelaki di pentas Asia yang kali terakhir dimenangi oleh Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada edisi 2007 lalu.

Dengan ini, Aaron Chia-Wooi Yik menjadi beregu lelaki ke-6 Malaysia yang berjaya merangkul gelaran juara Asia setelah turut diraih oleh 5 lagi pasangan lagenda negara sebelum ini.

3) Aaron Chia-Wooi Yik kekal rekod tanpa kalah di BAC 2025.

Perjalanan Aaron-Wooi Yik dalam meraih gelaran juara Asia tampak cukup garang dengan setiap lawan yang ditemui dari pusingan pertama hingga final gagal mencuri walau satu set dari mereka.

Corak permainan yang dilihat berbeza di bawah bimbingan Herry Iman memberikan satu nafas baharu buat Aaron-Wooi Yik sehingga menyukarkan pihak lawan untuk menundukkan wakil negara ini.

4) Habuan RM164,000 dan 12,000 mata ranking menjadi milik Aaron Chia-Wooi Yik

Gelaran juara di BAC sudah semestinya memberikan habuan yang besar kepada pemenang oleh kerana status kejohanan ini yang dinilai setaraf Jelajah Dunia BWF Super Series 1000.

Maka, Aaron-Wooi Yik sebagai juara beregu lelaki membawa pulang wang kemenangan USD37,000 sekitar RM163,808 serta 12,000 tambahan mata untuk kedudukan ranking BWF mereka.