Skuad Indonesia Bawah 16 Tahun (B-16) mula mengatur persiapan Piala AFF B-16 2024 dengan memanggil tujuh pemain yang berpangkalan di luar negara.
Ini selepas tujuh pemain ini telah menyertai sesi latihan pusat pasukan muda Indonesia di Yogyakarta sejak beberapa hari lalu.
Empat daripadanya beraksi di negara-negara Eropah. Mereka ialah Diego Sinathrya (Paris Saint-Germain Pro Residence), Matthew Kohnke (CF Baco Mirasol), Fernando Momor (Atletico Madrid) dan Ocean Erwin Lim (FC Cardedeu).
Dua lagi berpangkalan di Asia iaitu Eizar Tanjung (Sydney City) dan Matthew Sitorus Baker (Melbourne City). Manakala Lucas Raphael Lee pula berpangkalan di Amerika Syarikat dengan mewakili kelab DeAnza Force.
Meskipun tujuh pemain ini sudah menyertai sesi latihan Tim Garuda, ini bukan jaminan bahawa mereka akan menyertai skuad akhir ke Piala AFF B-16 2024.
Menurut penolong jurulatih Indonesia B-16, Tommy Haryanto, ini kerana jurulatih pasukan, Nova Arianto mahu membentuk pasukan yang benar-benar mantap sebelum kejohanan bermula.
Atas sebab itu, Nova bersedia menggugurkan mana-mana pemain jika tidak menepati falsafah bola sepak yang dibawanya.
“Ada pemain akan digugurkan dalam sesi kem latihan berikutnya, kerana kami akan bergerak ke kota Yogya. Jadi, ada beberapa pemain yang akan kami gugurkan kerana kuotanya hanya cukup 40 pemain.
“Dan juga ada pemain lain yang datang dari luar negara dan Asprov (persatuan wilayah PSSI),” katanya seperti yang dipetik portal Skor.
Pasukan itu kini dalam perancangan mengatur beberapa perlawanan persahabatan untuk menguji keserasian semua pemain yang dipanggil.