Menejelang aksi sulung Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan malam ini, empat pemain negara perlu memanfaatkan perlawanan tersebut untuk membalas dendam kekalahan terdahulu.
Empat pemain yang dimaksudkan adalah Mohamadou Sumareh, Shahrul Saad, Syahmi Safari dan Akhyar Rashid. Keempat-empat pemain ini telah diturunkan dalam perlawanan menentang Kyrgyzstan pada Oktober 2018.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Hang Jebat ketika itu menyaksikan skuad negara tewas tipis 0-1 kepada Kyrgyzstan melalui jaringan tunggal Sagynbaev Bekzhan pada minit ke-68 yang menewaskan penjaga gol ketika itu, Khairul Fahmi Che Mat.
Perlawanan tersebut juga menyaksikan Shahrul Saad, Syahmi Safari dan Mohamadou Sumareh diletakkan dalam kesebelasan utama. Manakala Akhyar pula di bawa masuk pada separuh masa kedua.
Lima tahun sudah berlalu, kini kedua-dua pasukan bakal bertemu di stadium yang berbeza dengan para pemain yang juga berbeza. Sudah pasti ianya perlawanan yang menarik untuk disaksikan.
Selepas bertemu Kyrgyzstan skuad negara bakal berlepas ke Taiwan bagi aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 di gelanggang lawan yang dijadualkan pada 21 November ini.