Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal kembali mendapatkan khidmat 4 pemain yang ketika ini dipinjamkan ke luar negara.
Ketika ini, pasukan bimbingan Hector Bidoglio ini berada di tahap terbaik setelah memastikan gelaran Liga Super buat kali ke-11 dengan fokus kini terarah ke final Piala Malaysia.
Dengan saingan Liga Malaysia yang hampir ke penghujung, seramai 4 tonggak JDT yang dilepaskan ke kelab tempatan dan juga luar negara bakal pulang setelah tempoh pinjaman tamat.
Antara salah seorang pemain yang berkelana di luar negara adalah Endrick Dos Santos yang kini beraksi bersama kelab Vietnam, Ho Chi Minh City dan telah menjadi watak penting di sana.
Dalam 17 penampilan musim ini, Endrick telah menjaringkan 2 gol serta melakukan 4 bantuan jaringan buat Ho Chi Minh City untuk membantu kelab tersebut berada di tangga ke-9.
Selain itu, penyerang muda JDT, Fergus Tierney yang ketika ini berkelana ke Thailand telah mempamer aksi cukup hebat bersama Nakhon Pathom meski berada di tangga bawahan.
Berdasarkan rekod, sejumlah 3 gol telah berjaya direkodkan oleh Fergus Tierney di Thai League 1 kini walaupun bermain dalam 10 perlawanan sejak tiba di kelab itu pada Januari lalu.
Sementara seorang lagi pemain tengah iaitu Chico Geraldes yang menyarung jersi Wellington Phoenix di Australia ketika ini beraksi hebat dengan satu gol dan satu bantuan jaringan.
Walau bagaimanapun, Geraldes dilaporkan telah mengalami kecederaan serius dan memaksanya berehat sehingga akhir musim tatkala pihak kelab berminat untuk merekrut khidmat beliau lagi.
Akhir sekali lagi adalah pemain sayap Nicolao Cardoso yang bersama kelab dari Indonesia, PSS Sleman dan telah terlibat dalam 8 jaringan buat pasukan berkenaan daripada 24 aksi.
Cardoso yang juga bekas pemain kebangsaan Itali bawah 20 tahun tiba di JDT pada Februari 2024 lalu namun tak berjaya tembusi skuad utama yang membuatkan beliau berkelana ke Indonesia.
Menerusi semakan di laman Transfermarkt, keempat-empat pemain ini akan kembali ke JDT setelah berakhirnya tempoh pinjaman mereka bersama kelab-kelab berkenaan pada 30 Jun hadapan.