Kem berbasikal trek negara diketuai Datuk Azizulhasni Awang bakal membuka cabaran dalam Sukan Olimpik 2024 yang bermula pada 7 Ogos ini.
Azizulhasni menjadi sandaran terakhir kontinjen Malaysia untuk meraih pingat emas pertama Olimpik selepas kem badminton meraih dua pingat gangsa.
Pencapaian dua pingat gangsa itu diraih menerusi jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia dan beregu lelaki utama Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Zii Jia menjadi pemain perseorangan negara ketiga selepas Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei meraih pingat Olimpik. Sementara Aaron-Wooi Yik pula berada dalam kumpulan elit atlet negara yang meraih lebih daripada satu pingat Olimpik.
Selain mereka, Azizulhasni, Chong Wei dan Datuk Pandalela Rinong turut berada dalam kelompok sama. Dan ini membawa kepada beberapa fakta penting:
1- Ini penyertaan Olimpik kelima Azizulhasni.
Ini temasya Olimpik kelima yang disertai pelumba trek berusia 36 tahun itu sejak kali pertama melakukannya pada temasya 2008 di Beijing, China. Ini sekaligus penampilan terbanyak yang direkodkan atlet lelaki Malaysia dalam temasya Sukan Olimpik.
2- Pingat perak pencapaian terbaik Azizulhasni dalam temasya Olimpik.
Sejak bertanding di Olimpik pada 2008, Azizulhasni telah membuktikan dirinya antara pencabar utama dalam acara keirin. Temasya Olimpik edisi 2016 dan 2020 menyaksikan anak jati Kuala Dungun, Terengganu itu meraih pingat gangsa dan perak dalam acara berkenaan.
3- Kekal konsisten walaupun berdepan isu kesihatan.
Meskipun berdepan cabaran isu kesihatan, Azizulhasni terus membuktikan dirinya mampu bersaing di pentas elit. Buktinya, beliau meraih pingat perak acara keirin Australia Wheel Race 2023 dan pingat emas acara keirin Piala Negara-Negara UCI 2024 di Adelaide, Australia.
4- Berpotensi ikut jejak Datuk Lee Chong Wei.
Azizulhasni sudah berada dalam kelompok elit kerana memenangi lebih daripada satu pingat Olimpik. Pada masa sama, beliau juga berpeluang mengikut jejak Chong Wei untuk meraih tiga pingat Olimpik sekiranya cemerlang dalam acara pecut atau keirin.
5- Azizulhasni bakal dicabar pelumba Eropah, Australia dan Jepun.
Seperti biasa, Azizulhasni bakal berdepan cabaran jaguh Eropah dan Australia seperti Jack Carlin (Great Britain), Matthew Richardson (Australia) dan Harrie Lavreysen (Belanda). Jaguh Jepun, Ota Kaiya juga berpotensi mencipta kejutan dan mencabar kedudukan beliau.