Dengan Graham Potter bergelut menstabilkan semula Chelsea kebelakangan ini, sudah mula suara-suara yang mahukan Potter disingkirkan. Atas sebab inilah, Blues mahukan pengganti Potter di Brighton, Roberto De Zerbi sebagai calon mengisi kerusi panas di Stamford Bridge.
Selepas dilantik sebagai pengurus baru Seagulls pada 18 September tahun lepas, De Zerbi membantu pasukan menduduki tempat kelapan liga ketika ini. Selain mempamerkan corak permainan menarik, pengurus Itali itu turut membantu mengembangkan bakat ramai pemain muda seperti Kaoru Mitoma dan Evan Ferguson.
Begitupun menurut laporan Football Insider, mana-mana kelab yang berminat perlu membayar klausa perlepasan yang boleh mencecah jutaan paun. Ini kerana De Zerbi mempunyai kontrak dengan Brighton sehingga 2026.
Dengan Seagulls sendiri berpeluang layak ke Eropah sama ada menerusi Liga Europa atau Europa Conference League, peluang De Zerbi meninggalkan Stadium Amex amat tipis.
Di sebalik semua itu, itu tidak akan menghalang pemilik Chelsea, Todd Boehly daripada mendapatkan De Zerbi sebagai pengganti Potter. Dengan bekas pengurus Sassuolo itu mampu mengendali bakat-bakat muda di Stamford Bridge, itu sudah cukup untuk Boehly mengejarnya.
Chelsea bukan satu-satunya pasukan yang mahukan De Zerbi sebagai pengurus baru mereka. A.C Milan, Juventus, Inter Milan, A.S Roma dan Tottenham Hotspur juga dikatakan memburu khidmat pengurus Itali itu.