Perancang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Endrick Dos Santos menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Malaya kelak. Beliau kini berpotensi untuk berada dalam skuad Kim Pan-gon selepas secara sah bergelar pemain naturalisasi pada tahun 2023.
Pemain berusia 27 tahun ini menzahirkan rasa gembira dan teruja setelah didaftarkan sebagai pemain tempatan. Sememangnya beliau akui perlu berusaha lebih di JDT supaya berpotensi untuk dipanggil kem kebangsaan.
“Saya rasa gembira (bergelar pemain naturaliasi) dan kini sedang bekerja keras untuk berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Saya kira untuk bermain bersama skuad kebangsaan ia akan ambil masa untuk kem kejurulatihan menilainya.”
“Apa yang penting, saya perlu konsisten di JDT. Jika saya mampu buat sehabis baik bersama Johor, pasti akan ada peluang untuk saya menyarung jersi kebangsaan,” ujar Endrick kepada MakanBola.
Dalam debut bersama JDT di pentas Liga Super pada semalam, Endrick cemerlang mencatat nama sebagai penjaring. Tandukan cantik beliau memastikan skuad kendalian Esteban Solari meraih tiga mata berharga di laman lawan.
JDT bakal berentap menentang Negeri Sembilan pada aksi seterusnya Isnin depan. Perlawanan ketiga saingan Liga Super 2023 itu dijadualkan berlangsung di Stadium Paroi, Negeri Sembilan.