Jaguh beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia mengakui masih menyimpan impian meraih pingat emas dalam temasya Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Aaron dan rakan gandingannya, Soh Wooi Yik menjadi sebahagian daripada kumpulan atlet elit negara yang meraih pingat Olimpik sebanyak dua kali.
Mereka meraih pingat gangsa buat kali pertama dalam temasya Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. Pencapaian itu diulangi dalam edisi 2024 di Paris, Perancis.
Meskipun sudah mengharumkan nama Malaysia dengan pencapaian pingat gangsa, Aaron melihat peluang meraih pingat emas di Los Angeles masih lagi terbuka.
Ini kerana mereka masih berada pada tahap terbaik untuk merealisasikan impian Malaysia meraih pingat emas pertama Olimpik.
“Kami meletakkan sasaran tinggi di #LA28. Kami masih berada pada tahap terbaik untuk mengatasi segalanya, masih mengejar pingat emas (pertama buat Malaysia),” katanya kepada CGTN Sports.
Impian Aaron turut disokong oleh Wooi Yik. Anak jati Kuala Lumpur itu melihat pencapaian mereka di Paris bukan kemuncak prestasi mereka.
“Kita tidak melihat Sukan Olimpik di Paris sebagai kemuncak kita. Sejak itu, kita telah melakukan perubahan dan menyasarkan LA.
“Kami memiliki keazaman untuk memaksimumkan setiap tahun persiapan (ke Olimpik 2028),” katanya.
Aaron-Wooi Yik kini mengatur persiapan bagi menghadapi saingan Sudirman Cup 2025 yang bakal bermula pada penghujung April ini.
Beregu nombor empat dunia itu segar daripada kejayaan bergelar juara Badminton Asia Championships (BAC) 2025 baru-baru ini.