Advertisement
“Aaron Chia & Wooi Yik Belum Stabil, Harap Kemuncak Prestasi Di Paris”
Badminton
UltraSukan
BA Malaysia

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, Datuk Hamidin Mohd Amin melihat Datuk Azizulhasni Awang dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai harapan utama pingat emas negara.

Pandangan itu dilontarkan beliau dalam sidang media selepas majlis doa selamat sempena Piala Asia 2023 dan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 semalam.

Tidak seperti Azizul yang sentiasa konsisten setiap kali berlumba di velodrom, Hamidin menyifatkan prestasi beregu lelaki utama negara itu belum berada dalam keadaan stabil.

Ini kerana bekas juara dunia beregu lelaki 2022 itu kerap terkandas sama ada di peringkat suku akhir mahupun separuh akhir kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Asia 2023.

Justeru, Hamidin mengharapkan apabila Sukan Olimpik 2024 bermula, prestasi Aaron-Wooi Yik berada pada tahap terbaik untuk memburu pingat buat Malaysia.

“Kalau sukar itu, kita kena tengok. Pertama, kita tidak pernah dapat emas. Kedua, siapa yang dapat emas, dia merupakan yang terbaik di dunia.

“Kalau kita fokus dari segi persembahan dan rekod, Azizulhasni (Awang) yang paling dekat, itu kita tidak boleh nafi.

Yang kedua, Aaron (Chia dan Soh Wooi Yik). Tapi Aaron (Chia dan Soh Wooi Yik) masih belum stabil, (terkandas) di suku akhir (dan) separuh akhir. Ada menang sekali dengan (regu-regu lelaki lain) semua.

“Tapi mungkin di Paris, mereka boleh berada di kemuncak (prestasi). Jadi, rekod pun sama (mainkan peranan dalam kejohanan),” katanya panjang lebar.

Aaron-Wooi Yik ketika ini menduduki tangga keempat dunia dan berada pada kedudukan baik untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Mereka merupakan sebahagian daripada program Road To Gold, program yang membantu merealisasikan atlet negara yang terpilih sebagai sandaran pingat emas di Sukan Olimpik.