Juara Asia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik meraih gelaran juara kedua untuk tahun 2025 dengan memenangi aksi final Thailand Open.
Kejayaan itu dicapai bekas juara dunia 2022 itu dengan menewaskan beregu muda Denmark, William Kryger Boe dan Christian Faust Kjaer.
Aaron-Wooi Yik dilihat pilihan utama berdasarkan status mereka sebagai pilihan kedua kejohanan. Meskipun begitu, Boe-Kjaer dilihat mampu memberi cabaran kepada beregu Malaysia itu.
Ini kerana mereka berjaya mara ke final selepas menyingkirkan pilihan utama kejohanan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di peringkat separuh akhir.
Kali terakhir kedua-dua beregu berentap ialah saingan Indonesia Masters 2025. Aaron-Wooi Yik menewaskan Boe-Kjaer dengan keputusan 21-13, 23-21.
Set pertama menyaksikan juara Asia itu selesa mendahului pada kedudukan 10-6. Boe-Kjaer memberi tentangan sengit sebelum mengikat kedudukan 16-16.
Beregu muda Denmark itu kemudiannya mendahului pada kedudukan 19-17. Meskipun cuba ditentang Aaron-Wooi Yik, Boe-Kjaer mengungguli set pertama dengan keputusan 22-20.
Set kedua menyaksikan kedua-dua beregu saling mengejar mata. Pada satu ketika, mereka terikat pada kedudukan 10-10.
Aaron-Wooi Yik kemudiannya mendahului pada kedudukan 16-13 sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-17. Ini memaksa perlawanan diheret ke set penentuan.
Rentak cemerlang Aaron-Wooi Yik diteruskan dalam set ketiga. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Boe-Kjaer membantu bekas juara dunia itu mendahului pada kedudukan 11-4.
Kelebihan selesa yang dimiliki Aaron-Wooi Yik terus dipertahankan sebelum menang dengan keputusan 21-12.
Juara Asia itu menjadi beregu Malaysia pertama meraih gelaran juara Thailand Open sejak edisi 2009. Kejayaan ini turut menebus kehampaan mereka pada final edisi 2021 apabila tewas kepada beregu Chinese Taipei, Lee Yang dan Wang Chi-lin.