Pertahanan kanan Manchester United, Aaron Wan-Bissaka dilaporkan bakal meninggalkan Old Trafford dan menyertai pasukan baharu hari ini.
Pemain berusia 26 tahun itu bakal menyertai West Ham United secara perpindahan tetap dengan kontrak selama lima tahun dan beliau kini berada di London untuk menjalani ujian perubatan.
Perkara tersebut disahkan oleh wartawan bola sepak terkemuka antarabangsa, Fabrizio Romano dalam satu hantaran di laman X.
“Aaron Wan-Bissaka kini di London untuk ujian perubatan sebagai pemain West Ham yang baharu. Proses rasmi baru sahaja bermula.
“Beliau akan menandatangani kontrak lima tahun lewat hari ini,” umum Fabrizio Romano di laman X.
Untuk rekod, Bissaka telah beraksi dalam 190 perlawanan buat United. Beliau turut meledak dua jaringan selain menyumbang 13 bantuan gol.
Kelibat Bissaka bersama United sejak beberapa musim kebelakangan ini acap kali dibayangi dengan kecemerlangan pesaing beliau di posisi pertahanan kanan United iaitu Diogo Dalot.