Selangor FC mengumumkan perlantikan Shahrom Kalam dan Abdi Hassan sebagai penolong jurulatih kepada pengendali pasukan, Nidzam Jamil.
Perlantikan dua figura berkenaan diumumkan pengurusan Merah Kuning menerusi satu pengumuman di laman sesawang rasmi pasukan.
Perlantikan Shahrom dan Abdi dibuat bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penolong jurulatih sebelumnya, Conor Nestor. Jurulatih Ireland itu meninggalkan Selangor untuk menggalas peranan sebagai jurulatih kelab Kemboja, Svay Rieng.
“Selangor FC hari ini mengumumkan Abdi Hassan dan Shahrom Kalam sebagai dua penolong ketua jurulatih Gergasi Merah yang baru.
“Abdi Hassan, jurulatih yang sebelum inj membimbing skuad Selangor FC B-23 yang kini sedang mencabar di kelompok atas saingan Piala MFL 2024/25 telah dilantik secara ‘interim’, manakala selamat datang juga diucapkan kepada Shahrom Kalam, nama yang tidak asing lagi di kalangan peminat Gergasi Merah,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Nama Abdi bukan asing kerana beliau bertanggungjawab membimbing skuad Piala MFL Selangor. Pasukan itu ketika ini berada di kelompok dua teratas Piala MFL musim 2024/25.
Sementara Shahrom pula dikenali sebagai kapten dan bek tengah Merah Kuning yang membantu pasukan itu muncul juara Piala Malaysia 2015. Sebelum ini, beliau menggalas peranan sebagai jurulatih kelab Liga A1 Semi-Pro, Gombak FC.
Nidzam menyambut baik perlantikan kedua-dua figura ini. Beliau percaya Abdi dan Shahrom mampu memberi sumbangan besar kepada kempen Merah Kuning musim ini.
“Abdi bukan asing dalam keluarga Gergasi Merah; pengalaman dan kemampuannya yang luas untuk mengembangkan bakat muda ke tahap tertinggi sangat dicari oleh pasukan.
“Bagi Shahrom, beliau merupakan figura lain yang berkait rapat dengan persekitaran bola sepak Merah Kuning. Kualiti kepimpinannya, pengalaman sebagai pemain, semangat, dan dedikasi kepada pasukan akan membawa elemen positif ke dalam skuad,” katanya.
Selain Abdi dan Shahrom, Nidzam turut dibantu jurulatih penjaga gol, Faozi Mukhlas dan jurulatih kecergasan, Arulchelvan Illenggo.
Selangor turut menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada Nestor atas kerja kerasnya bersama pasukan sepanjang tempoh bergelar penolong jurulatih.