Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan kelab India, Mumbai City dalam aksi keempat Kumpulan D hari ini.
The Blue Waves memerlukan kemenangan hari ini bagi membolehkan mereka terus menerajui Kumpulan D.
Begitupun, tuan rumah yang dibimbing Des Buckingham hampir membuka jaringan menerusi Greg Stewart pada minit pertama tetapi percubaannya gagal menemui sasaran.
Al-Hilal perlahan-lahan mendominasi babak pertama. Bagaimanapun, barisan pertahanan The Islanders diketuai Rostyn Griffiths memastikan keputusan kekal 0-0 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, momentum mula berubah ke arah The Blue Waves.
Tuan rumah dipaksa bermain dengan 10 orang selepas Mehtab Singh dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-54.
Kelebihan 11 pemain segera dimanfaatkan Al-Hilal untuk memburu gol pendahuluan. Akhirnya, The Blue Waves mendahului pada minit ke-62 menerusi Michael Delgado.
Bek kiri Mohammed Al-Burayk membuat satu hantaran deras ke arah kotak gol The Islanders. Hantaran tersebut mudah ditanduk Michael menewaskan penjaga gol Phurba Lachenpa.
Al-Hilal hampir menambah jaringan menerusi bekas penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic pada minit ke-70.
Bagaimanapun, rembatannya dari luar kotak penalti terkena tiang sebelum melantun ke tepi padang.
Penantian Mitrovic akhirnya berakhir apabila mudah menanduk hantaran Malcom pada minit ke-85. Ini merupakan gol kelima beliau dalam ACL musim ini.
Gol tersebut sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan ketiga Al-Hilal dalam Kumpulan D.
Biarpun berkongsi 10 mata dengan kelab Uzbekistan, Navbahor, The Blue Waves kekal sebagai pendahulu kerana memiliki kelebihan perbezaan jaringan.
Dua pemain Al-Hilal diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini iaitu Michael dan Malcom.
Kedua-duanya masing-masing mendapat 8.2 mata sebelum diikuti oleh Mohamed Kanno (8.0 mata).