ACL: Al-Ittihad Tumpul Tanpa Benzema, Diikat Navbahor
MakanBola
Al-Ittihad

Al-Ittihad mencerahkan peluang untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC selepas menundukkan kelab Uzbekistan, Navbahor dalam aksi pusingan 16 terakhir sebentar tadi.

AL-Ittihad berkunjung ke Stadium Markaziy tanpa kehadiran bintang utama mereka iaitu Karim Benzema namun dua bintang ternama dunia yang lain seperti Fabinho dan N’golo Kante telah disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Perlawanan dimulakan dengan penguasaan penuh Al-Ittihad yang mempamerkan variasi hantaran tepat sekali gus memaksa para pemain Navbahor berkampung di kawasan sendiri untuk bertahan.

Keadaan itu berterusan dengan Navbahor hanya sekali sekala menyerang ke kubu Al-Ittihad melalui serangan balas yang pantas.

Tidak banyak yang mampu dilakukan oleh kedua-dua pasukan selepas masing-masing buntu untuk mencipta jaringan dengan Al-Ittihad hanya berhasil membuat satu sahaja percubaan tepat ke gawang Navbahor. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, Al-Ittihad meneruskan momentum serangan dengan trio serangan Abderrazak Hamdallah, Romarinho dan Marwan Al-Sahafi menjadi sandaran bagi menjaringkan gol.

Peluang keemasan Al-Ittihad hadir pada minit ke-80 melalui Abderrazak Hamdallah namun percubaan jarak dekat pemain Maghribi itu melambung tinggi walaupun pintu gol sudah terbuka luas.

Saleh Al-Amri juga berpeluang untuk meledak gol buat Al-Ittihad namun percubaan akrobatik pemain itu berjaya diselamatkan penjaga gol Navbahor, Utkir Yusupov.

Perlawanan akhirnya ditamatkan dengan kedudukan tanpa jaringan. Kedua-dua pasukan akan beraksi dalam aksi timbal balik kedua pada 23 Februari dengan menyaksikan Al-Ittihad menjadi tuan rumah di King Abdullah Sport City.