Cristiano Ronaldo membantu Al-Nassr bangkit untuk meraih kemenangan ke atas kelab Tajikistan, Istiklol dalam aksi kedua Kumpulan E ACL awal pagi ini.
Al-Nassr berharap dapat melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam semua kejohanan kepada 11 perlawanan.
Manakala The Lions pula berharap kemenangan hari ini mampu membantu mereka mendepani aksi play-off kejuaraan Tajikistan Higher League yang bermula pada 16 Oktober ini.
Bagaimanapun, Al-Alami ketinggalan terlebih dahulu apabila pelawat menyumbat gol pertama menerusi penyerang Ivory Coast, Senin Sebai pada minit ke-44. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah menggandakan serangan. Hasilnya, Ronaldo menyamakan kedudukan pada minit ke-66 dengan melambungkan bola mengatasi penjaga gol Istiklol, Rustam Yatimov.
Gol tersebut merupakan gol pertama beliau dalam saingan ACL. Ini memberi semangat kepada Al-Alami untuk memburu gol kemenangan.
The Lions makin derita apabila Al-Nassr menyumbat dua gol dalam tempoh lima minit. Dua gol berkenaan disumbang Anderson Talisca pada minit ke-72 dan 77.
Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan ini melonjakkan Al-Nassr ke tangga teratas kumpulan dengan enam mata dengan Istiklol pula di tangga tercorot.