Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Nassr mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik ACL biarpun sekadar seri tanpa jaringan dengan Persepolis dalam aksi kelima Kumpulan E.
Dengan 12 mata daripada empat perlawanan, Al-Alami hanya memerlukan keputusan seri atau kemenangan untuk layak selaku juara kumpulan.
Sementara Persepolis memerlukan kemenangan agar wujud jurang antara mereka dengan Al-Duhail yang menduduki tempat ketiga Kumpulan E.
Seawal minit kedua, Al-Alami dianugerahkan sepakan penalti apabila legenda Portugal, Cristiano Ronaldo dijatuhkan dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, sikap jujur Ronaldo yang meminta pengadil Ma Ning agar tidak menganugerahkan sepakan penalti menarik perhatian pengguna media sosial. Keputusan tersebut kemudiannya dibatalkan selepas disemak VAR.
Al-Nassr kemudiannya ditimpa malang apabila bek tengah Ali Lajami diperintah keluar padang pada minit ke-17.
Ini memaksa anak-anak buah Luiz Castro bekerja keras memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus bergelut mencipta peluang jaringan.
Biarpun Al-Alami dan Persepolis melakukan beberapa pertukaran bagi mengubah momentum permainan, keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Al-Nassr kekal di persada Kumpulan E dengan 13 mata. Sementara Persepolis di tempat kedua dengan lapan mata.
Sofascore memilih bek kiri Persepolis, Ali Nemati sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.9 mata.
Sementara penjaga gol Al-Nassr, Nawaf Al-Aqidi dipilih sebagai pemain terbaik Al-Nassr dengan 7.7 mata.