ACL: Al-Nassr & Ronaldo Dihumban Keluar Oleh Kelab UAE, Al-Ain
ACL
Al-Nassr FC
Advertisements

Hasrat Cristiano Ronaldo memacu kelab gergasi Arab Saudi, Al-Nassr ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2023-2024 tidak kesampaian.

Ini selepas mereka disingkirkan kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Ain dalam aksi kedua suku akhir ACL yang berlangsung pada awal pagi ini.

Selepas tewas 1-0 dalam aksi pertama suku akhir, Al-Nassr perlu menang hari ini jika mahu mara ke separuh akhir.

Advertisements

Malangnya, hajat Al-Alami yang dibimbing Luiz Castro untuk memulakan perlawanan dengan langkah kanan punah.

Penyerang Maghribi, Soufiane Rahimi kembali menghantui Al-Nassr dengan meledakkan gol pertama Al-Ain pada minit ke-28.

Al-Zaeem semakin selesa di hadapan apabila Rahimi meledakkan jaringan kedua yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Raghid Najjar pada minit ke-45.

Advertisements

Abdulrahman Ghareeb memastikan Al-Nassr tidak ketinggalan jauh dengan menyumbat gol pertama tuan rumah pada minit ke-50. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, tuan rumah mendapat talian hayat. Bola sepakan pemain tengah Portugal, Otavio terkena badan penjaga gol pelawat, Khalid Eisa sebelum masuk ke gawang pada minit ke-51.

Perlawanan mula panas disebabkan insiden pertelagahan pemain kedua-dua pasukan. Al-Ain yang dibimbing Hernan Crespo naik angin apabila mendakwa Sadio Mane sepatutnya dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Advertisements

Ini selepas bekas pemain sayap Liverpool itu didapati mencekik pemain gantian Al-Zaeem, Saeed Juma. Bagaimanapun, pengadil memilih melayangkan kad kuning kepada Mane.

Bekas pemain pertahanan Manchester United, Alex Telles menceriakan penyokong tuan rumah menerusi sepakan percuma pada minit ke-72. Ini menjadikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 menerusi keputusan agregat.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 3-3 kekal sehingga tamat 90 minit masa perlawanan. Keadaan ini memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Advertisements

Al-Nassr kemudiannya dipaksa bermain dengan 10 orang selepas pembantu pengadil video (VAR) mengesan kekasaran yang dilakukan pemain gantian, Aymen Ahmad.

Selepas memeriksa insiden di monitor, pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepadanya. Kesempatan ini digunakan Al-Ain untuk mendapat gol keempat menerusi pemain gantian Sultan Al Shamsi pada minit ke-103.

Bagaimanapun, Ronaldo memastikan perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti dengan menyempurnakan penalti pada minit ke-118.

Penentuan penalti menyaksikan Al-Ain mara selepas berjaya menyempurnakan tiga penalti mereka dengan keputusan 3-1.

Ronaldo dan Rahimi berkongsi status sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini selepas Sofascore memberi mereka markah sama iaitu 8.3 mata.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram