Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan mahu skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Hal ini dizahirkan beliau apabila diberi peluang memberi kata-kata semangat buat anak buah Shukor Adan sebelum menghadapi kempen kelayakan Piala Asia B-17 2027 Kumpulan E.
Ghani melihat dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, ini seharusnya menjadi tonik semangat buat skuad Malaysia B-16 untuk meraih keputusan positif.
“Ini rumah kita, gunakan kelebihan sebagai tuan rumah. Jangan gentar untuk bersaing dengan mana-mana pasukan.
“Apa yang penting ialah semangat berpasukan, keberanian, kesungguhan dan keinginan untuk terus belajar serta memperbaiki kelemahan.
“Saya berharap para pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan dan berusaha untuk melayakkan diri ke pusingan akhir nanti,” katanya.
Ghani turut mengingatkan para pemain bahawa menyarung jersi kebangsaan merupakan satu penghormatan. Justeru, beliau berharap mereka dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan baik.
“Saya berharap semua pemain mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya. Anda semua mempunyai tanggungjawab untuk membawa nama dan maruah negara.
“Berikan komitmen sepenuhnya, berdisiplin dalam latihan dan sentiasa percaya kepada kemampuan diri serta kekuatan pasukan,” tambahnya.
Selain meninjau sesi latihan, Ghani turut diberi penerangan oleh Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee dan Shukor berhubung persiapan pasukan.
Malaysia berada dalam Kumpulan E bersama Palestin, Singapura, Guam dan India. Skuad negara akan membuka kempen kelayakan apabila bertemu Palestin pada 8 November ini.


