Misi skuad muda Harimau Malaya untuk memburu slot kelayakan ke Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) bakal bermula pada 8 November ini.
Selepas berjaya bergelar naib juara Kejuaraan B-17 ASEAN 2026, kini anak buah Shukor Adan memburu slot kelayakan apabila bersaing dalam Kumpulan E.
Persiapan skuad Malaysia B-16 sudah bermula sejak pertengahan Oktober lalu. Fasa pertama latihan pusat diadakan di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang dari 11 hingga 23 Oktober lalu.
Ini disusuli fasa kedua latihan pusat dari 26 Oktober hingga 5 November. Sebahagian daripada latihan pusat fasa kedua diadakan di Pusat Latihan Kebangsaan (NTC), Putrajaya.
Selepas itu, BolaKita memaklumkan Shukor bakal memilih barisan terbaik untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia B-17.
Hanya tujuh juara kumpulan daripada Kumpulan A hingga G saja yang layak secara merit ke pusingan akhir. Piala Asia B-17 2027 akan berlangsung di Uzbekistan dari 12 hingga 29 Mei 2027.
Setakat ini, sembilan pasukan sudah layak termasuk Uzbekistan selaku tuan rumah. Malaysia akan membuka kempen kelayakan dengan menentang Palestin pada 8 November ini.
Seandainya skuad negara berjaya layak ke Piala Asia B-17, ini dilihat satu lagi pencapaian cemerlang buat Shukor. Sebelum ini, beliau membawa skuad Malaysia B-19 layak ke Piala Asia B-20 2027.


