Anwar Ibrahim Beri Bayangan F1 Kembali Ke Malaysia
UltraSukan
Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Formula 1 (F1) akan kembali ke Malaysia.

Kemungkinan itu dizahirkan beliau apabila ditanya tentang peluang Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1 pada masa hadapan.

“Saya tidak sabar (dengan kemungkinan) itu. Kita sedang adakan perbincangan (dengan pihak F1),” katanya dalam satu video yang dikongsikan Stadium Astro.

Anwar kemudiannya mendedahkan beliau turut mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Stefano Domenicali sebelum perlumbaan bemula.

“Berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali, sebelum perlumbaan bermula di Litar Antarabangsa Sepang.

“Kami membincangkan prospek mengembalikan Grand Prix Malaysia dalam kalendar F1 secara tetap, sekali gus menyambut hasrat peminat yang sekian lama menantikan kepulangannya ke Sepang,” katanya di X.

Anwar memaklumkan dua faktor dijangka mempengaruhi peluang Malaysia kembali bergelar tuan rumah perlumbaan F1. Dua faktor tersebut ialah faktor jadual padat dan komitmen kontrak negara-negara yang terlibat.

Anwar turut memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Jemaah Menteri berhubung perkara itu. Selain mengambil kira faktor kemampuan Malaysia, kerajaan juga mahu mengambil kira manfaat perlumbaan kepada negara dan rakyat.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1 ialah tahun 2017. Menariknya, pemenang perlumbaan edisi 2017, Max Verstappen turut mengungguli saingan Grand Prix (GP) Bahrain di Sepang.